Taklukkan Hari Anda dengan Kenikmatan Kopi Terbaik! Klik di sini dan Temukan Tiga Blend Kopi Menawan dari Robusta Dampit Malang dan Arabika Gayo Aceh. Dapatkan Sekarang!

Malaysia Rebut Peluang Sebagai Pusat Selenggaraan Serantau Pesawat FA-50 – Tok Mat

04 Juli 2023

FA-50 TUDM (photo : VIV)

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan hari ini menyatakan Malaysia perlu mengambil peluang keemasan untuk menjadi hub MRO (pemeliharaan, penyelenggaraan, dan pembaikan) untuk pesawat tempur keluaran Korea Selatan.

Beliau menyatakan, perolehan FLIT/LCA dari Korea Aerospace Industries (KAI) yang dilakukan oleh negara baru-baru ini akan memberikan impak tersendiri kepada industri pertahanan tanah air.

“Kita menandatangani pembelian LCA FA-50 daripada Korea. Kita sedang meneliti program offset dan juga LCP (local content product) yang mana kita mahu supaya aktiviti MRO mesti diadakan di negara kita,” katanya.

Kementerian Pertahanan Malaysia telah meterai Surat Setuju Terima (SST) bagi tujuan perolehan 18 buah FA-50 pada 24 Februari lalu.

Pembelian yang berjumlah RM3.8 bilion ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program Capability 2055 (CAP55) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menggariskan 36 buah pesawat FLIT/LCA.

FA-50 merupakan derivatif tempur untuk pesawat latihan T-50 Golden Eagle. Kedua-dua pesawat ini telah digunakan secara meluas di rantau Asia Tenggara termasuk di Indonesia, Filipina dan Thailand.

Mengulas perkara tersebut, Tok Mat menyatakan masih belum terdapat pusat MRO khusus bagi T-50 dan FA-50 di mana-mana negara pengguna di rantau ini.

“Jadi kita nak ambil peluang supaya Malaysia menjadi sebagai regional centre MRO untuk LCA FA50 ini,” kata Menteri Pertahanan menjawab soalan tambahan oleh Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md. Ramli di Dewan Negara, hari ini.

Sebelum Malaysia, Filipina telah terlebih dahulu membeli FA-50 bagi kegunaan tentera udara negara kepulauan republik itu dengan perolehan 12 buah pada tahun 2014. FA-50PH telah digunakan semasa pertempuran di Marawi pada tahun 2017 dan telah mempamerkan keberkesanannya dalam menggempur kedudukan kumpulan pengganas Maute.

Jejak pesawat keluaran Korea Selatan itu di Asia Tenggara bermula dengan perolehan 16 T-50 Golden Eagle oleh Indonesia pada 2011. Perolehan ini dilakukan bagi menggantikan peranan pesawat latihan BAE Hawk dan pesawat penyerang OV-10 Bronco.

Jakarta kemudiannya melakukan perolehan tambahan 6 buah T-50i pada tahun 2021 melalui kontrak bernilai US$240juta.

Thailand telah melakukan perolehan T-50 secara berperingkat pada tahun 2015 dan 2017. Pada permulaan, Bangkok telah membeli 4 buah T-50TH sebelum tambahan 8 buah pada tahun 2017. 

(Airtimes)